" F l o w e r "

flaw

Hai Welcome Here


" Welcome to my bittersweet diary "

We can chatting here

<>




Tolong Komen Tentang Manuskrip Novel Ni?}
Monday, December 31, 2012 | 1:10 AM | 2Comment

Salam! Hari ni nak mintak tolong comment untuk manuskrip novel fantasi ni. I'm still wrking on it, tapi perlukan pendapat orang lain. Harap sudi comment ya? Tajuk- Aslan Muhaimin> Fantasi Atau Realiti?

Sinopsis
Aslan Muhaimin ialah seorang remaja 14 tahun yang membesar dengan suasana islamik. Dia tinggal di tahun 2040, suatu zaman kenaikan Islam. Tempat tinggalnya, Bandar Darussalam mempunyai masyarakat yang sentiasa bersederhana dalam kehidupan. Aslan bersama-sama ibu (Ummi Kamila) dan kakaknya, Farisha tinggal di sudut bandar. Ayahnya, Darius dikatakan telah meninggal dunia akibat kemalangan di makmal semasa melakukan kajian. Namun begitu, ayahnya sebenarnya berasal daripada dunia Cleopatra, dan kenyataannya ayahnya bukanlah meninggal dunia kerana kemalangan biasa. Ayahnya masyhur sebagai seorang hero di dunia tersebut, kerana berjaya mengurung Raja Kegelapan dalam Kurungan Abadi yang terletak di bahagian bawah tanah istana milik Kegelapan. Namun begitu, ayahnya terkorban dalam runtuhan istana itu. Aslan bersekolah di Madrasah Hamka . Suatu hari ketika pulang dari sekolah, dia terkena panah kilat ketika hujan lebat di sebuah pusat jana kuasa elektrik lama. Semenjak itu dia memiliki kuasa istimewa, iaitu kuasa unsur elektrik. Selepas sekolahnya diserang oleh konco-konco Kegelapan, dia mula mengetahui bahawa kuasa aneh itu biasan separuh daripada kuasa Raja Kegelapan yang berjaya melepaskan diri dari kurungan tersebut. Dia mula belajar mengawal kuasanya dan sentiasa menyelamatkan orang ramai yang diganggu oleh makhluk aneh itu. Ketika melintasi pusat jana kuasa itu, Aslan kemudiannya ‘disedut’ ke ruang udara melepasi lapisan atmosfera kerana Raja Kegelapan yang masih belum sempurna jasadnya ingin bersua muka dengannya. Raja Kegelapan menyerupai bebola gas yang membentuk wajah manusia. Dia diberi masa selama tiga hari untuk mempersiapkan diri untuk bertarung dengannya. Aslan menghadapi pertempuran pertama yang mendebarkan dengan Raja Kegelapan. Dia akhirnya dibantu oleh ahli keluarganya dari Cleopatra sehingga Raja Kegelapan “lenyap". Dia ialah Akira, bapa saudaranya dari dunia Cleopatra yang kemudiannya menceritakan bahawa dia merupakan keturunan pejuang dunia itu yang berdarah “Perwira”- satu-satunya harapan untuk mengalahkan Raja Kegelapan untuk keamanan dunia. Semenjak itu, Ekran bersekolah di Sekolah Veronda- antara sekolah superhero yang terkenal di Cleopatra. Aslan mengalami pelbagai pengembaraan menarik. Antaranya adalah: - Aslan sering berulang-alik dari Cleopatra ke Bandar Darussalam untuk belajar mengawal kuasa elektriknya dan melawat Ummi Kamila. Ibunya akhirnya membenarkan dia tinggal di sana bersama-sama keluarga Perwira. - Belajar teknik “Andromeda” – teknik menggunakan kuasa untuk membentuk menjadi objek. Aslan juga mula belajar terbang kerana seringkali diejek kerana tidak mampu terbang untuk ke kelas Puan Ibriz. - Memenangi Piala Heroes yang selama ini milik pembuli sekolah, Gabriel - Menaiki naga bersama-sama rakan baiknya, Flora dan Max ke Pulau Maiden. Suasana kelakar tercetus apabila Max yang asalnya seorang yang berani melolong-lolong sepanjang perjalanan kerana takutkan ketinggian - Bertemu dengan Emeralda (puteri negeri Magenta), ketika bermain permainan “Sleether” di dalam hutan. Aslan tersentuh pokok Eshan (portal untuk ke Magenta) . - Menyaksikan Emeralda yang mempunyai kuasa unsur angin untuk mengalahkan tentera Yugoslavin yang selalu mengganggu keamanan rakyat negeri itu. Dia dibenarkan untuk menuntut di Sekolah Veronda - Aslan diberitahu oleh Akira, bahawa Raja Kegelapan menyerang Ummi Kamila di Bandar Darussalam. Dia tidak mampu menewaskan Raja Kegelapan dan terpaksa menyaksikan sendiri ibunya dibunuh di hadapannya.


Bab 1 Satu tubuh terhuyung-hayang selepas tersepak akar pohon gergasi yang menjalar sambil mengekalkan lariannya. Kakinya berlari amat pantas.. Seperti ada sesuatu yang mengejarnya. Seperti maut sudah tiba. Tangannya sibuk menepis mana-mana dahan pokok yang mengganggu jalannya tapi hakikatnya dia berlari di dalam hutan asing yang tiada penghujungnya. Hanya kegelapan dan lorong hitam. Sesekali dia menoleh ke belakang, memastikan ‘benda’ itu sudah jauh daripadanya. Kelihatan sesuatu seperti asap hitam yang besar – berbentuk hampir sfera dengan mata dan mulutnya dibentuk daripada asap tersebut. Dia berasa seperti tiada guna sahaja dia berlari kerana ‘benda’ itu hanya sentiasa beberapa inci daripadanya, cuba mencapainya dari belakang. Seketika kemudian, muncul suatu cahaya di hadapannya. Detik itu juga cupingnya menangkap satu suara seperti memanggilnya, “Kembalilah… Kembalilah Aslan !!!” Tanpa pilihan lain, dia lancar sahaja masuk ke dalam cahaya tersebut. “Aaaaaaaahhhhh!!!”. Aslan terjaga dari mimpinya. Mimpi buruk yang sudah dua minggu dialami mengganggu tidurnya. Dia mengusap wajahnya yang dibasahi peluh sambil beristighfar panjang. Astaghfirullahalazim… Kebelakangan ini dia selalu mimpi perkara buruk – mimpi yang sama, keadaan yang sama. Hati kecilnya meyakini bahawa mimpi ini bukan mimpi biasa. Pernah juga dia bertanya kepada Ustaz Amirul, mentornya di Madrasah Hamka. Ustaz hanya berkata, yang dikatakan mimpi yang mempunyai petunjuk daripada Allah hanyalah mimpi yang dialami satu pertiga malam. Mimpi pada waktu-waktu yang lain pula hanyalah mainan tidur ataupun daripada syaitan. Apa yang mengganggu fikirannya, mimpi yang satu ini memang menepati syarat di atas. Satu per tiga malam. Aslan bingkas bangun dan mengemaskan tempat tidurnya lalu mempersiapkan diri untuk qiamullail. Aslan mengaku ini salah satu hikmah dari mimpi tersebut. Dia berpeluang solat malam ketika terjaga dari tidurnya lagi, kemudian selepas itu pada pukul lima pagi dia akan bersiap- siap untuk ke sekolah tahfiz pula. Wuduk diambil dengan penuh tenang selepas membaca basmalah dan doa wuduk. Dia selalu ingat pesan Ustaz Amirul, cara kita ambil wuduk menjadi penentu samada kita mampu khusyuk atau tidak ketika solat nanti. Bermakna sekiranya wuduk itu sempurna, insyaallah solat juga sempurna. Lama Aslan menekur di atas tikar sejadah itu sambil memuji nama Allah. Setelah jam menunjukkan pukul lima waktu Darussalam, Aslan cepat-cepat bangun dan bersiap-siap untuk ke Madrasah Hamka. Setelah selesai menyantap sedikit roti dan menyalami ibunya, Aslan lantas bergerak ke sekolah. ************************************************************************ Tahun 2040, Bandar Darussalam Madrasah Hamka. Aslan baru sahaja melangkah ke fasa 3 di Madrasah Hamka. Sekolah ini menepatkan pelajar-pelajar dari umur 4 tahun sehinggalah 17 tahun. Kemudian daripada sini terbahagi kepada tiga fasa – Fasa 1 (Iltizam) untuk pelajar 4 tahun sehingga 6 tahun, Fasa 2 (Imtiyaz) untuk pelajar 7 tahun sehinggalah 12 tahun, manakala Fasa 3 (Mujahid) pula untuk pelajar 13 tahun sehingga 17 tahun. Aslan yang baru sampai sebagai ‘pelajar junior Mujahid’ - berumur 13 tahun, membetulkan kopiahnya serta mengibas-ngibas tanda nama di bajunya. Aslan Muhaimin- pelajar tahun akhir, azam baru untuk tahun ini. Hendak mengatasi Kamarul dalam setiap imtihan, tak kira apa caranya! Selalu sahaja Aslan ditewaskan oleh Kamarul dalam setiap imtihan bulanan hatta peperiksaan penting sekalipun. Bukankah Kamarul selalu main-main dalam kelas? Entahlah… “Ehem.Ehem!! Assalamualaikum!” Zulfakar menarik kemas bahu Aslan ke belakang, menghentikan lamunannya. “ Tak mahu masuk kelas ke? Datang awal tapi tak nak masuk kenapa? Nanti Kamarul masuk dulu, kaut semua apa yang cikgu ajar dalam kelas. Tak rasa rugi ke?” Zulfakar sengaja bercakap menggunakan nada amaran di tepi telinganya. Aslan pantas menyiku sahabatnya tanpa menghiraukan Zulfakar yang mengaduh kuat sambil membalas dengan muka marah. Dia cepat-cepat menarik tangan Zulfakar lalu duduk bersila di hadapan meja kayu kecil miliknya. Kemudian, terdengar bunyi kasut Ustazah Afifah hendak masuk ke kelas lalu semua pelajar lantas meletakkan buku Sejarah Islam di atas meja masing-masing. Dia sempat menjeling ke arah Kamarul yang berjaya mendapatkan tempat duduk paling hadapan di kelas itu. Sekurang-kurangnya Aslan masih berada di barisan hadapan kelasnya. ***** Petang itu hujan lebat. Aslan meneliti jam tangannya, sudah pukul enam. Mujur dia sudah solat Asar di surau sekolah sebelum dia berangkat pulang. Seperti biasa, dia akan meredah laluan sunyi untuk pulang ke rumah. Sesekali dia mengelap kawasan matanya yang basah sambil membetulkan baju hujannya yang semakin meleret ke bawah. Aslan bukan suka-suka memilih jalan itu untuk pulang ke rumahnya. Rumahnya sahaja yang jauh dan agak terpencil berbanding kawan-kawan yang lain. Rumahnya juga sederhana sahaja. Bukan keluarganya tidak kaya, tetapi ibunya, Ummi Kamila cakap arwah Abi yang meminta untuk hidup sederhana. Abinya, Amir Qhaliff merupakan salah seorang daripada pengasas Ilmu Baru, satu bidang pengajian ilmu falak di bangunan Media Corp di Bandar Darussalam. Hebat abi, sebenarnya. Tetapi abi memilih untuk bersederhana dan tidak begitu menonjol di kalangan orang-orang besar. Itulah abi. Sedang Aslan asyik melihat-lihat bangunan-bangunan lama di lorong lurus itu, tiba-tiba angin berderu kencang sehingga hampir menerbangkan baju hujannya. Hairan, mahu ributkah? Sambil memeluk beg sekolahnya yang separuh basah, Aslan terpandang satu awan aneh berwarna biru keungu-unguan berarak semakin dekat ke arah stesen jana kuasa elektrik di salah satu sudut di lorong itu. Aslan agak teruja, lalu tanpa disedari seperti disihir, Aslan maju merapati awan yang indah itu. “Cantik betul awan itu. Subhanallah.. Tak pernah aku nampak awan secantik itu,” Aslan sempat memuji kepada Ya Khaliq sambil merapati salah sebuah dinding pusat jana kuasa elektrik tersebut. Dia sebenarnya memang suka melihat dan memuji keagungan ciptaan-Nya. Cuma, kali ini dia tidak sedar tabiatnya pada situasi ini boleh membunuhnya! Tidak lama kemudian, awan tersebut menjadi tidak terkawal lalu mengeluarkan sejalur cahaya biru yang menyambar salah satu tembok jana kuasa elektrik- tembok yang dipegang oleh Aslan! Halilintar tersebut mengenai Aslan. Aslan terjatuh mencium tanah dan melepaskan satu jeritan panjang sebelum pandangannya semakin kabur. ****************************************************************************** “Aslan! Aslan! Aslan!” sayup-sayup kedengaran seperti satu suara halus memanggil namanya. Kelopak matanya yang terasa berat cuba digerakkan ke atas sambil mendengus kecil. Matanya tertancap kepada suatu pandangan yang biasa dilihatnya. Bilik? Bila masa aku tidur di sini? Dia mengesat matanya dengan hujung jari kemudian menoleh ke arah kiri. Kelihatan wajah ummi yang risau, menggelengkan kepalanya, lalu mengangkat belakang tapak tangannya ke dahi Aslan. “Aslan buat apa ni? Kenapa pergi ke tempat jana kuasa elektrik, bahaya tau! Hujan pulak tu. Kalau jadi apa-apa kat Aslan tadi macam mana? Anak ummi ni..” Ummi mengeluh dan mengusap rambut Aslan. Dia senyum, “ Alah ummi… Ok, Aslan mintak maaf eh? “Ekran, buat apa tengah hujan nak? Sampai pengsan ni, nasib baik tak jadi apa-apa.” “Macam mana ummi tahu? Macam mana Ekran ada kat sini?” “Uncle Chong yang bawa sini. Nanti jangan buat lagi tau? Ummi risau ni, nak ummi sedih ke?” Ummi mengeluh kecil. Matanya ditumpukan ke arah Ekran. “Okey, Ekran janji tak buat lagi. Ekran sayang ummi, tau?” Ekran memeluk ummi. Tindakan itu mengembalikan senyum di wajahnya. Seketika kemudian, terdengar suara Kak Emelda dari dapur memanggil nama ibu. Dia pantas menggenggam tangan ibunya lalu menyalaminya . Ibu geleng lagi. Pandangannya kaku. Dia cuba menghidupkan kembali suasana lalu memeluk ibunya, diam sebentar, lalu Ummi Kamila membalas pelukan mesra itu. Mereka kemudian melonggarkan pelukan sementara Aslan masih mengekalkan senyum yang tersisa. Suara kakaknya, Farisha yang nyaring, memanggil Ummi dari dapur, barangkali memerlukan pertolongan. Ummi Kamila mengingatkannya supaya berehat secukupnya supaya cepat sembuh. Mata Aslan mengakari langkah ibunya, keluar dari kamar itu. Dia kini sendiri dalam kamar sunyi. Dia buntu bercampur kaget. Macam mana boleh jadi macam ni? Dia menadah tangan, berdoa, bersyukur kerana tragedi ini tidak meragut nyawanya. Ketika dia menarik tangannya dari mukanya, dia terkejut! Rupa-rupanya kemalangan itu bukanlah kemalangan yang ‘kosong’! Kelihatan beberapa jalur elektrik halus keluar daripada jari- jemarinya. Patutlah dia berasa seperti ada sesuatu yang ‘lain’ dalam dirinya. Seperti ada sesuatu yang mengisi salur darahnya sehingga dia berasa dirinya berada dalam tubuh yang lain. Dan pastinya, ini akan memberi perubahan yang besar dalam hidupnya. Kekacauan itu tidak hanya berlaku di rumahnya, tetapi juga berlaku di satu sudut dunia. Seorang lelaki sedang berdiri di puncak sebuah gunung. Angin malam yang dingin itu membuai-buai rambutnya yang panjang melepasi bahu. Lelaki asing itu memejamkan mata, menyerap kedinginan malam yang mencengkam. Mulutnya terkumat-kamit menghabiskan materanya dalam bahasa yang kurang difahami. Matanya yang tadinya terpejam kini terbuka pantas, merenung ke arah langit yang tidak berbintang. Seusai itu, angin yang tadinya nyaman bertukar menjadi kencang, namun lelaki itu masih tegak berdiri. Menanti. Beberapa lama kemudian, angin yang menggila tadi berhenti. Apabila dia mendongak, satu bebola gas berwarna hitam berarak mendekati bumi, ia perlahan-lahan bergerak membentuk satu wajah manusia. Manusia yang menyeramkan. Kegelapan menyelimuti seluruh Bandar Darussalam pada detik itu juga. “Tuan,” dia bersuara, menunduk hormat kepada ‘benda’ tersebut kemudian kembali berdiri tegak. “Saya minta maaf tuan. Ini semuanya salah saya, saya tidak menyangka bahawa perkara ini akan berlaku,” lelaki itu tunduk lagi, akur dan takut kepada ‘benda’ aneh ini. “ Fugitre, kau kecewakan aku lagi!” satu suara kasar bergema di seluruh bandar itu. Namun hentamannya hanya dapat didengari olehnya. “Budak itu tak akan lepas! Saya janji saya akan..” “Dia milik aku, sampai bila-bila! Dan kau, Fugitre. Lebih baik dapatkan budak itu secepat mungkin! Pastikan dia dibawa kepada aku hidup-hidup! Aku nak tengok, sehebat mana budak ini.” Serta-merta bebola gas itu berpusar dan lenyap di dada langit. Fugitre yang tadinya menunduk kembali mendongakkan kepalanya menghadap seluruh Bandar Darussalam yang luas. Dia sedar, sesuatu perlu dilakukan supaya tuannya kembali. Tuannya, Raja Kegelapan sudah hilang separuh daripada kuasanya ketika dia sendirian berusaha untuk melepaskan tuannya dari Kurungan Abadi. Ketika itu, cuaca tidak menentu menyebabkan secara tidak sengaja kuasa tuannya tersebar ke sekeliling dan akhirnya diserap oleh kepulan awan. Usahanya pasti sia-sia sekiranya Raja Kegelapan tidak boleh mendapat tubuhnya sendiri. Semuanya harus sempurna. Budak itu harus diserahkan kepada tuannya supaya kejahatan dulu kembali merajai dunia.


Bab 2
Pagi itu terasa aneh baginya. Bukan hari yang biasa. Aslan Muhaimin keluar sebagai budak baru yang terselamat daripada kemalangan yang mampu meragut nyawa. Sepanjang hari fikirannya ligat memikirkan perihal semalam. Dia bukan lagi Aslan yang dulu, tetapi Aslan yang boleh ‘bermain’ dengan elektrik. Aslan bahkan tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pengajaran Ustaz Suhaimi : sejarah Islam- subjek yang paling digemarinya. Suara ustaz kedengaran tenggelam timbul dalam lamunan yang semakin menghuni mindanya. Seusai Ustaz Suhaimi menulis nota di papan hitam, dia kembali bercerita lagi tentang kisah Ibn Sina, ilmuan Islam yang agung pada masa dahulu. Dia berasa seperti ada yang kurang dalam kelasnya hari ini. Tiada soalan yang diajukan daripada murid kesayangannya, Aslan. Situasi bertukar tempat. Kamarul pula yang lebih aktif sedangkan Aslan hanya tunduk menongkat dagu, mengelamun agaknya. “Aslan! Apakah kitab yang dihasilkan oleh Ibnu Sina?” Ustaz Suhaimi sengaja menjeratnya untuk menguji samada dia menumpukan perhatian atau tidak. Tatapan Aslan yang tadinya terperangkap pada mejanya kini tertumpu pada wajah ustaznya yang berkerut. Dia mulai sedar bahawa dirinya sudah ‘ghaib’ daripada menjadi ahli kelas tersebut. Dia rasa bersalah. Zulfakar yang sebelum ini asyik menulis nota pada bukunya menoleh ke arah Aslan, menyertai mata-mata lain yang merenung aneh kepadanya. Rekod baru- ini baru pertama kali rakannya tertangkap kerana mengelamun di dalam kelas! “Qanun Fi Tibb” Ustaz Suhaimi menjawab soalannya sendiri setelah lama Aslan mendiamkan diri. Dia kembali ke mejanya, meninggalkan muridnya itu yang masih terpinga-pinga. “Baik murid-murid! Muka surat 5.” Dia mengetuk mejanya dengan pembaris panjang, kemudian kembali kepada meja Aslan. Dia merenung ke arahnya, “Boleh saya pinjam buku awak sekejap? Sebagai denda untuk tadi, saya nak guna buku awak untuk rujukan semua murid di sini.” Dia menghulurkan tangan, dan secara spontan, Aslan menyerahkan bukunya kepada Ustaz Suhaimi. Dia tidak terus melihat ustaznya selepas menyerahkan buku, sebaliknya mengeluarkan buku catatannya daripada beg dan meletakkannya di atas meja. Alangkah terkejutnya Aslan apabila dia menoleh ke hadapan kelas! Rambut ustaznya kini menegak hampir sepenuhnya! Seluruh isi kelas menekup mulut menahan tawa, malahan ada yang sudah ketawa terbahak-bahak dari belakang kelas. Tangan Aslan yang tadinya berada di atas meja ditarik pantas ke dalam laci meja. Sudah sah, jalur-jalur elektrik halus kelihatan memancar-mancar daripada telapak tangannya. Lebih parah, cas elektrik itu pula sudah berpindah kepada Ustaz Suhaimi, punca utama kepada situasi ini. Zulfakar yang dari tadi berasa aneh terhadapnya beralih perhatian kepada rakannya itu. Mengapa Aslan nampak pelik semacam hari ini? Hatinya pasti bahawa dia melihat sinar elektrik yang memancar dari tangan Aslan ketika menyerahkan buku kepada Ustaz Suhaimi. Akalnya berfikir bahawa rakannya itu sengaja hendak bergurau dengan Ustaz Suhaimi. Dia menyangka bahawa mungkin Aslan menggunakan alat yang mengeluarkan elektrik ketika menyerahkan bukunya tadi, tetapi tidak pasti alat apa. “Haa, aku nampaklah apa yang kau buat tadi! Kau guna alat apa sampai jadi macam tu?” Zulfakar separuh berbisik dalam keriuhan pelajar kelas itu. Dia menunduk sedikit ke arah Aslan di sebelahnya, menyebabkan Aslan semakin menggenggam kemas tangannya di bawah meja. “Tak ada apa-apalah!” dia cuba mengintai di bawah mejanya, memastikan samada jalur elektrik yang keluar dari tangannya sudah keluar atau belum. Setelah pasti bahawa tangannya sudah kembali normal, dia menarik nafas lega dan mengangkat tangannya perlahan-lahan. Ustaz Suhaimi masih menggunakan bukunya sambil menulis di atas papan hitam. Dia langsung tidak sedar bahawa rambutnya sudah menjadi bahan ketawa seluruh kelas. Sangkaannya, budak-budak itu bermain-main dalam kelasnya lagi. Dia tidak menghiraukan situasi tersebut, tangannya kemas memegang pen marker dan terus menulis nota dengan lancarnya. Setelah selesai menulis, dia beralih kepada Aslan dan mengembalikan buku yang dipinjamnya tadi. Sebaik sahaja buku itu bertukar tangan, rambut ustaznya yang sebelum ini menegak kini melurut seperti biasa. Tawa murid-murid yang tertahan-tahan kini senyap. Kelas berjalan seperti biasa. Zulfakar juga tidak lagi menghiraukan tentang apa yang berlaku tadi. Cuma, benaknya sahaja yang masih berfikir, sampai bila dia harus sembunyi? ****** Loceng sekolah berdering. Semua pelajar menggesa pintu pagar sekolah, ingin pulang ke kediaman masing-masing. Aslan sudah berada di hadapan bangunan Madrasah Hamka yang berdiri tegak sambil melambai-lambai ke arah Zulfakar sebelum pulang. Tiba-tiba dia terlihat akan seorang murid perempuan yang sedang mengayuh basikal, hendak melintas jalan. Dia masih riang di atas basikalnya, tidak sedar bahawa sebuah pacuan empat roda menanti untuk menghentamnya dari sisi. Mata Aslan sekejap-sekejap melihat ke arah kereta tersebut, kemudian memandang ke arahnya. Dia perlu selamatkannya, tetapi pada masa yang sama hatinya bimbang sekiranya keadaan dirinya diketahui orang lain. Mujurlah pada ketika itu semua murid sekolah sudah beransur-ansur pulang. Setelah pasti bahawa tiada sesiapa berdekatan, spontan sahaja dia mengeluarkan jalur elektrik, menarik pantas perempuan itu ke tepi jalan. Bunyi bising kedengaran daripada basikal yang diseret beberapa meter ke hadapan. Mangsa yang telah diselamatkan tadi terpinga-pinga dengan situasi tersebut. Dia yakin sekali bahawa ada sesuatu yang menariknya sebelum tubuhnya menghentam tanah. Aslan sebenarnya kurang pasti bagaimana dia melakukan aksi sebegitu, sedangkan dia sendiri belum faham dengan kuasa ini. Belum boleh mengawalnya. Detik itu, dia hanya berfikir bahawa dia perlu menyelamatkan nyawa, menggunakan kuasa yang dimilikinya. Dia pantas berlari ke belakang bangunan sekolah, hendak menyembunyikan diri atas perkara yang berlaku sebentar tadi. Langkahnya agak kalut sehingga tubuhnya terlanggar seorang lelaki berjubah hitam. Dia cuba menoleh, tetapi akhirnya dia menghentam pula tubuh yang lain. “Aduh! Alamak..” kedengaran satu suara halus. Suara yang biasa didengarinya. “Maaf kak! Aslan tak nampak tadi. Ini beg kakak, terjatuh tadi.” Dia menyerahkan beg sandang yang berada di atas tanah setelah menepuk-nepuk debu daripadanya. Farisha menahan kedua-dua tangannya, menyilangkan tangannya di celah-celah tangan Aslan. “Eh.. Tak payah! Sebagai denda, Aslan yang kena bawa beg kakak sampai rumah ya? Itulah, siapa suruh langgar orang?” Farisha senyum sendiri. “Kak Isha baru balik dari mana?” mereka berjalan beriringan tangan. Kakaknya tiba-tiba berhenti, menghentikan langkahannya. “Apa lagi, kelas taekwondolah!” dahi Aslan ditumbuk manja oleh kakaknya. “Kakak dapat tali bengkung baru tau? Kuning. Nak tahu? Kakak terpilih untuk ke Kejuaraan Taekwondo Peringkat Negeri tau? Hebat tak?” “Hebat..” Aslan mencebikkan bibirnya. Ketawa tercetus sepanjang perjalanan mereka. Kakaknya, Farisha, berumur 15 tahun. Dua tahun lebih tua daripadanya. Ketangkasannya dalam taekwondo tidak dapat diragui lagi. Sudah ramai rakan-rakan lelaki sebaya kakaknya yang tumbang di tengah gelanggang. Semuanya kerana tidak dapat menandingi serangan rahsia kakaknya. Tangkas dan kemas. Mereka berdua berjalan melintasi bangunan-bangunan yang berdiri megah, jalan raya yang sentiasa sibuk dengan kenderaan, deretan kedai yang menjual barangan antik dan perhiasan rumah. Akhirnya, mereka melalui lorong yang sama, melintasi kawasan jana kuasa elektrik. Tempat berlakunya kemalangan yang mengubah hidupnya. Tempat dia memperoleh kuasa aneh sebegitu. Dia memandang sekilas ke arah itu. Hatinya berharap sekiranya kuasa itu terus sahaja hilang dan dia menjalankan hidup seperti sebelumnya. Namun dia sendiri tidak tahu, sampai bilakah akan terus begini? Mampukah dia pulih? Dia sendiri belum mengerti ke manakah takdir ini akan membawanya. Dalam kekeliruan itu, dia terlupa kepada lelaki yang dilanggarnya tadi. Lelaki itu kelihatan aneh, berpakaian serba hitam. Ketika perlanggaran tadi, lelaki aneh itu menatapnya. Agak lama. Seperti ada sesuatu di sebalik renungan tersebut. Apakah urusannya dengan lelaki itu? Adakah lelaki itu mempunyai kaitan dalam semua ini? Ah! Persoalan itu bertubi-tubi menujah mindanya. Sedar tidak sedar mereka sudah sampai di pintu rumah. Salam diberi dan pintu dibuka. Ummi Kamila lupa mengunci pintu lagi. Kali ini bukan kerana sibuk di dapur, tetapi kerana khusyuk menyaksikan berita di kaca televisyen. Ibu kaku di atas kusyen, matanya tidak lepas dari memandang ke arah televisyen. Aslan dan kakaknya segera melabuhkan punggung di sisi Ummi Kamila, turut sama menyaksikan berita yang menggemparkan itu. “Berita tergempar! Satu objek seperti gumpalan gas kelihatan berpusaran di atas langit pada tengah malam semalam. Objek itu berbentuk seperti wajah manusia yang mengerikan. Gumpalan gas itu terlalu besar, meliputi seluruh Bandar Darussalam dalam kegelapan. Punca peristiwa tersebut belum diketahui. Semua penduduk di kawasan berhampiran diminta berjaga-jaga! Sebarang amaran akan diberitahu kelak.” Mata Ummi Kamila terbelalak menyaksikan berita tersebut. Aslan menoleh ke arah ibunya, hairan dengan reaksi ibu. Kerut pada wajah suci ibunya seperti takutkan sesuatu, tapi apa? Aslan sudah beredar ke kamarnya, meninggalkan dua beranak itu kekal di ruang tamu. Tombol pintu dikunci. Dia melabuhkan punggungnya di atas katilnya. Tangannya menongkat dagu. Fikiran Aslan berputar ligat. Melihatkan imej kabur bebola gas misteri itu dalam berita yang sempat dirakam menyebabkan dia memikirkan sesuatu. Ia persis mimpi buruknya yang belum pudar dari ingatan. Kegelapan yang mengejarnya. Menghantuinya. Mungkinkah mimpinya itu menjadi petunjuk kepada semua ini


Bab 3 - belum siap..
Malam Pakaian Beragam. Seluruh bangunan Madrasah Hamka berhias indah bagi menyambut hari yang bermakna ini. Semua pelajar tampak berbeza dengan menggayakan kostum yang bermacam-macam tema. Pelajar Fasa 1 yang paling ghairah mengenakan kostum yang berlainan rupa. Ada yang memilih kostum watak kartun, kostum hero pujaan mereka dan pelbagai lagi. Pelajar lain hanya bersederhana sahaja malahan ada yang tidak memakai kostum langsung. Aslan pula hanya mengenakan mantel hitam dan kain yang menutupi bahagian atas mukanya. Ringkas. Zulfakar pula yang mengiringinya memakai baju bertemakan padang pasir, lengkap dengan serban di atas kepalanya. Mereka duduk atas sebuah bangku panjang, bertentangan dengan pentas qasidah. Air sirap diteguk sehingga puas. Aslan sekadar memerhatikan persembahan qasidah dari jauh. Dia tidak menyertai murid-murid junior yang bersila rapat dengan hadapan pentas, bersemangat menyaksikan qasidah yang diketuai oleh Ustaz Amirul. Suara Ustaz Amirul yang bergemersik membawa lamunannya pergi jauh. Dia terpaksa bersusah payah menyembunyikan kuasanya yang selalu ada tidak kena masanya. Pernah sekali itu, sinar elektrik keluar daripada kakinya ketika dia sedang berlatih taekwondo dengan kakaknya. Mujur dia sempat berlari ke belakang semak ketika kakaknya melihat ke arah lain. Tidak mungkin dia memberitahu kakaknya tentang perkara itu, mungkin akan membahayakan nyawa kakaknya. Oleh itu, alasan terseliuh sahaja yang digunakan untuk melarikan diri. Namun begitu, ada masanya kuasa tersebut membantu. Aslanlah yang memulihkan bekalan elektrik ketika berlaku litar pintas di rumahnya. Dia masih ingat, ketika itu dia menggunakan jari telunjuk dan jari hantunya, meluruskannya dan menghalakan ke suis utama. Dia hanya membayangkannya dan seperti yang diharapkan, sinar elektrik itu memancar keluar dari jari-jemarinya. Ada masanya, Aslan seronok bermain-main dengan bebola elektrik yang diciptanya sendiri, berpusing-pusing pada telapak tangannya. Tanpa sedar, dia tersenyum sendirian. “Assalamualaikum! Oi, kau ni dengar ke tak ni? Helo?” Zulfakar melambaikan tangannya, rapat pada mukanya. Lamunannya terhenti tiba-tiba. “Sejak bila kau pandai berangan-angan ni hah?” “Waalaikumussalam! Tak apalah, sekali sekala apa salahnya?” “Sekali sekala, dua kali dua kala, tiga kali naik kepala!” dia menyiku perlahan sahabatnya itu. Aslan menggosok-gosok pinggangnya, menegakkan duduknya. “Wah, lawaknya! Buatlah lagi..” Aslan membuat muka kepada Zulfakar, membuatkan ketawanya pecah. Tumpuan mereka kini kepada persembahan nasyid yang diketuai oleh Syahidin, seorang pelajar yang berperawakan menarik. Bait-bait lirik bertajuk ‘Cintaku Allah’ itu dihayati sedalam-dalamnya. Allah yang menurunkan bulan kepada kami. Muhammad kekasih Allah. Yang terpilih. Yang mencintai umatnya sehingga hembusan nafas terakhir. Tiba-tiba terdengar dentuman dari bumbung ruangan tersebut. Seketika kemudian, angin bertiup kencang. Lampu chandelier yang tergantung di berhampiran pentas bergoyang hebat. Litar pintas berlaku, menambahkan kekalutan semua warga Madrasah Hamka. Aslan kini berdiri, menanti dalam kegelapan. Saat itu juga, kabus hitam menyelimuti penglihatan mereka. Aslan mengintai di celah-celah orang ramai, di dalam gelap. Seorang lelaki berjubah hitam muncul dari dalam kabus tersebut. Lelaki yang sama. Kali ini dia tidak berseorangan. Dia membelakangi beberapa makhluk hodoh, menanti untuk menyerang. “Serahkan dia kepada aku! Budak yang menyerap kuasa Kaizer itu! Serahkan dia kepada aku, atau aku akan hancurkan tempat ini! Budak itu memiliki kuasa Raja Kegelapan. Dia tidak layak untuk itu!” Seluruh bangunan itu menyepi. Hanya kedengaran beberapa pelajar berbisik-bisik menanyakan apakah yang sebenarnya berlaku? Jelas, mereka langsung tidak memahami apakah yang dimaksudkan olehnya. Aslan diam di tengah-tengah orang ramai itu. Dia pasti bahawa dialah yang dimaksudkan oleh kumpulan tadi. Dia yang diburu. Setelah tiada jawapan yang diberikan, lelaki tersebut menggerakkan tangannya, mengarahkan makhluk-makhluk itu menerkam dan menghancurkan kawasan tersebut. Keadaan menjadi riuh dan kelam-kabut! Semua warga madrasah itu berlari tanpa arah punca, hanya berfikir untuk menyelamatkan diri dan sahabat masing-masing. Ada antara mereka yang telah diterkam oleh makhluk hodoh tersebut, dihumban ke sana-sini. Aslan tahu, hanya dengan memunculkan dirinya sahaja mereka boleh berhenti. Tetapi dia tidak boleh membocorkan identitinya. Jikalau tidak, pasti ahli keluarganya pula yang diburu nanti! Akalnya timbul. Dia menerbalikkan mantel hitamnya, menampakkan bahagian dalam yang berwarna coklat. Aslan kini menapak berani ke hadapan. Mantelnya berkibar ditiup angin yang menderu. Lelaki itu mengangkat tangan lagi, mengarahkan mereka berhenti mengganas. “Muncul juga kau akhirnya! Rupanya kau ini hanyalah seorang budak mentah.” “Jangan ganggu mereka semua! Aku yang kau nak kan? Marilah, dapatkan aku!” “Tentera Shockmade.. Serang!” Seretak mereka menyerang Aslan bertubi-tubi. Aslan hanya bertahan. Tubuhnya tersungkur beberapa kali. Aslan agak kaku, dia tidak pernah berlatih berlawan menggunakan kuasanya sebelum ini. Dia akhirnya mundur setapak ke belakang, mengumpulkan keyakinannya dan menghalakan penumbuknya tepat pada tubuh satu daripada makhluk tersebut. Apa yang berlaku jauh di luar jangkaannya! ‘Benda’ itu terpelanting ke belakang, menghentam dinding sehingga retak! Aslan memandang ke arah tangannya sendiri, terkejut dengan kelebihan kuasa ini. Ramai lagi daripada mereka terus menyerang. Setiap serangan dapat ditangkis dengan berkesan. Ramai daripada mereka yang tewas. Sebahagian daripada mereka terus ghaib entah ke mana. Beberapa lama kemudian, pertempuran itu terhenti. Satu daripada makhluk tersebut menjadikan seorang daripada murid Madrasah Hamka sebagai tebusan. Apa yang mengejutkan lagi, tebusan itu ialah Zulfakar! “Zulfakar!” Aslan terjerit kuat. Dia khuatir sekiranya rakannya itu diapa-apakan. Dia membentuk seutas tali panjang menggunakan kuasanya. Tali itu melilit dengan sendirinya pada pinggang Zulfakar dan akhirnya dia berjaya ditarik ke tepi. Sama seperti ketika dia menyelamatkan murid perempuan di atas jalan raya. Serentak itu juga, serangan tersebut terhenti lagi. Senyuman lelaki tersebut terukir pada wajah yang separuh dilindungi oleh rambut panjangnya. “Cukup setakat ini! Kau jangan ingat ini semua sudah berakhir. Bersiap sedialah untuk menghadapi Raja Kegelapan!” dia menoleh ke belakang, membelakangi Aslan yang masih dalam posisi bersedia. “Sekurang-kurangnya, aku tahu siapa budak malang itu..” dia terus menghilang dalam kegelapan kabus hitam. Bekalan elektrik pulih seperti biasa. Kekacauan yang berlaku tadi semakin beransur-ansur tenang. Bangunan Madrasah Hamka rosak teruk pada ruangan dewan itu. Pecahan dinding konkrit berselerak di merata-rata tempat. Mujur bahagian sekolah yang lain tidak dihancurkan. Pastinya serangan tadi memberi kesan kepada seluruh pelajar dan guru sekolah itu. Aslan juga berpura-pura panik seolah-olah dia turut berkongsi ketakutan dengan semua warga sekolah. Dari satu sudut, Zulfakar memandang ke arahnya dengan pandangan aneh. Pandangan curiga. Mungkinkah identiti Aslan sudah terbongkar? Mungkinkah dia mengecam suaranya dalam kegelapan tadi? ****** Langkahannya kali ini lebih pantas daripada biasa. Bunyi kenderaan yang lalu-lalang dari jalan utama sudah lenyap. Dia melalui jalan sunyi itu sendirian. Lopak-lopak air yang menghalangi jalannya diredah begitu sahaja. Sebelum keadaan di Madrasah Hamka bertukar tenang, dia sudah bergegas pulang ke rumah. Dia tidak mahu dihujani persoalan daripada rakannya berkenaan hal tadi. Tidak mahu semua orang menemui jawapannya. Dari jauh sudah kelihatan rumahnya yang masih bercahaya. Masih ada orang yang berjaga di rumah itu. Pintu rumah dikuak dengan penuh berhati-hati. Dia tidak mahu mengejutkan penghuninya yang sudah tertidur. Seusai menutup pintu rumah, dia menoleh ke arah ruang tamu. Rupa-rupanya Farisha yang masih berjaga, mungkin menantinya pulang dari sekolah. Farisha sedang menonton rancangan larut malam. Dia mengalihkan pandangannya ke arah adiknya. Punat pada televisyen ditutup. Sepi. “Lewat balik malam ni? Macam mana sambutan di sekolah? Meriah?” Sunyi. Tiada jawapan daripada Aslan. Dia berdiri kaku di hadapan pintu. Air lopak yang menitis dari hujung seluarnya dibiarkan sahaja. Sekiranya boleh, Aslan ingin sahaja menyembunyikan apa yang berlaku di sana. Tidak lama kemudian, Aslan bersuara, “Biasa sahaja. Sama seperti tahun-tahun lepas.” Dia melangkah laju ke kamarnya, pantas menutup pintu. Farisha ingin menghalangnya, tetapi niatnya terhenti. Matanya menangkap satu kilauan di atas tikar rumah. Dia mengamati kilauan tersebut, melihatnya dari jarak dekat. Basah. Beberapa sinar elektrik meronta-ronta dari titisan air tersebut. Dia tidak perlu meneka. Titisan air itu pasti datang daripada seluar Aslan yang basah. Terdapat beberapa titisan air lagi menghala ke dalam bilik adiknya. Dia mengetap bibirnya. Ada sesuatu yang dirahsiakan daripada pengetahuannya. ***** Malam semakin pekat. Fugitre kini berada di dalam sebuah gua. Gua itu disinari oleh cahaya lilin yang mengelilingi seluruh ruangan itu. Stalaktit dan stalagmit daripada batuan gua menjadi peneman kesunyian itu. Fugitre berdiri menghadap sebuah tempayan kecil, berisi cecair berwarna ungu yang berkilauan. Asap meronta-ronta keluar daripadanya. Sepertinya dia sedang menyediakan posyen istimewa. Untuk menyelidik dengan lebih dalam lagi tentang Aslan. “Socerum Ignote!” kornea matanya membulat, berbentuk cincin berwarna coklat. Cecair dalam tempayan itu menggelegak, kemudian perlahan-lahan imej seorang budak lelaki memakai mantel berada di hadapannya. Minda Fugitre diserap masuk ke dalam posyen tersebut. Seketika kemudian pandangannya seperti berada di dalam tubuh Aslan. Berjalan masuk ke laluan sunyi itu sendirian. Membuka pintu rumahnya. Menatap ke arah seorang perempuan yang sedang duduk di atas kusyen, kemudian masuk ke dalam sebuah kamar. Setelah itu, mindanya kembali berada di dalam kamar itu. Dia kini mempunyai cukup informasi tentang Aslan. Tahu di mana rumahnya, tahu di mana sekolahnya, tahu siapakah ahli keluarganya. Dia sudah mengagak perkara ini akan berlaku. Persis cerita dongeng yang sebelum ini didengarinya di Cleopatra. Dia bukan watak kosong dalam misi ini. Ada misteri tentang lelaki ini. “Tidak lama lagi. Kau akan tahu segalanya, budak! Hidup kau baru sahaja bermula..” suaranya bergema di seluruh sudut gua itu. Meninggalkan dia sendirian.