Hai Welcome Here
" Welcome to my bittersweet diary " We can chatting here
|
refresh
profile
tutorial
affies
twitter
follow
Proposalku-- Alhamdulillah Dah Siap!}
Wednesday, December 12, 2012 | 4:39 PM | 0Comment Salam! Alhamdulillah, proposal dah siap! Banyak betul halangannya.. Halangan 1 Nama tempat dan orang tak tahu nak tulis camna? Ok.. settle dah! Halangan 2 Laptop tak ada. Ok yang ni memang kena tunggu Halangan 3 Broadband slow.. Dah bayar tapi maxis broadband mmg ada masalah akhir-akhir ni :p Akhirnya, setelah melompat kijang dan bersabar, alhamdulillah boleh sent emel proposal ke pihak pts. Baru je beberapa minit lalu. Ada permintaan daripada kawan sekolah untuk baca, jadi Husna ambil keputusan untuk publish kat sni ja. Scroll je dan baca. Maaf, kalau tak elok, sila pejam mata. Hehehehe
Bab 8 – Super Kejutan!
Hari Pahlawan. Bangunan Veronda gamat dengan hiruk-pikuk pelajarnya. Ini
pastinya hari yang paling bermakna bagi seluruh warga Veronda. Pelbagai
pertandingan telah dilangsungkan, namun Wolvament adalah pertandingan yang
paling dinanti-nantikan. Semua murid nampak gah dengan kostum masing-masing.
Flora dengan gaun hijau separas kaki, dihiasi dengan bunga-bungaan liar yang
melingkari bahagian bawah gaunnya. Aslan dengan kostum daripada perisai besi
yang dihadiahkan oleh keluarga Perwira. Max sahaja terpaksa memakai baju lama
kerana bajunya rosak akibat “serangan” daripada labah-labah peliharaannya. Dia
terpaksa memilih kostum yang terakhir di Jalan Somber dan inilah dia- lebih
kelihatan seperti pahlawan koboi.
“Maximus, awak…”
“Max, okey! Kenapa awak susah-susah nak sebut nama panjang saya?” Max
sibuk membetulkan kostumnya sambil menghiraukan jelingan-jelingan aneh dari
rakan-rakan yang lain. Dia kesal kerana terlupa menutup penutup balang
labah-labahnya menyebabkan kostum dan perisainya rosak kerana dipenuhi oleh
sarang labah-labah. Flora menjulurkan batang pokok Lemna dari jarinya,
mengambil kembali topi jerami Max yang terjatuh di belakangnya.
“Terima kasih, Flora.” Max tersenyum pendek.
“Bukan, saya ambil sebab tak cukuplah aksesori kalau topi ni tak ada
kan? Maksud saya, tak bolehlah awak jadi satu-satunya “pahlawan koboi” di
sini!”
“Flora!” Aslan dan Flora ketawa terbahak-bahak melihatkan Max yang
pipinya sudah memerah menahan marah. Dia melajukan jalannya sambil berusaha
menghilangkan debu degil yang masih melekat pada kostumnya.
“Padamkan api awak, Max. Kami bergurau sahaja. Jadi, awak nak bawa kami
ke mana hari ini? Melihat Eregor di balairung tingkat empat ke, di mana?” Aslan
bertanya.
Eregor adalah pertandingan yang selalu dimenangi Flora kerana dia yang
paling pandai mempraktikkan teknik Andromeda yang dipelajari di kelas Puan
Irisha. Namun begitu, Eregor akan bermula petang nanti. Senyuman Max yang
‘misteri’ menarik perhatian Flora dan Aslan. Dia menjanjikan mereka kejutan
tiga hari sebelumnya ketika mereka makan di Dewan Makan Sherbet.
“Max, tengok! Buih Acacia, menuju ke arah saya! Tunggu, banyak lagi lah!
Untuk semua orang ke?” Semua pelajar tertumpu ke arah siling Veronda, mereka tahu ribuan buih Acacia
yang datang serentak hanya ada pada sesetengah hari yang penting, dan pastinya
membawa berita yang paling penting. Perlahan-lahan siling bangunan tersebut
terbuka, membiarkan “keluarga buih” itu masuk. Aslan menyentuh dengan jari
telunjuknya pada buih Acacia yang paling dekat dengannya. Semua orang menyentuh
buih mereka sendiri, menantikan apakah berita yang akan disampaikan.
“Semua pelajar dibenarkan untuk ke Gelanggang Keadilan SEKARANG!
Perlawanan akan bermula sebentar lagi! Dan.. Seamus, jangan terbang di koridor
lagi!” kelihatan visual Puan Cytrus yang muncul daripada kilauan buih
tersebut sempat memberi amaran kepada Seamus, yang asyik bergayut pada lampu
yang bergantungan di situ. Seamus terbang dan kakinya menghempas lantai
marbella laluan itu sambil tersengih-sengih, seolah-olah tiada apa-apa yang
berlaku. Seluruh mata mengerling sinis ke arahnya, kemudian sepantas kilat
semua pelajar berpusu-pusu ke Gelanggang Keadilan. Keghairahan semua pelajar
untuk melihat Gelanggang Keadilan yang baru dibina menyebabkan mereka bertiga tertolak
masuk ke pintu gerbang gelanggang tersebut.
Sebaik sahaja sampai di hadapan pintu gerbang ruangan yang menempatkan Gelanggang
Keadilan, semua langkah terhenti sebentar. Serta-merta lampu ornamenta
terpasang dengan sendirinya, menerangi ruangan itu dan mendedahkan keindahan
binaan gelanggang tersebut. Pastinya pelajar-pelajar Veronda tidak melepaskan
peluang mengamati dan menikmati pemandangan yang indah di sudut itu. Di
tengah-tengah bilik itu terdapat gelanggang sfera berupa seperti colloseum,
separa bulat dan dikelilingi oleh dinding kaca warna turquoise yang
berkilauan. Di dalamnya terdapat plat-plat terapung yang terletak tiga per
empat tingginya dari lantai Gelanggang Keadilan.
Seketika kemudian, tanpa amaran, semua pelajar berpusu-pusu untuk ke
barisan tempat duduk yang mengelilingi di bahagian luar gelanggang tersebut.
Max dengan pantasnya terbang ke tempat duduk yang terbaik sekali, betul-betul
berhadapan dengan gelanggang tersebut kemudian menjaga tempat Aslan dan Flora
dengan menjulurkan kakinya yang panjang kepada dua tempat duduk kosong di
sebelah kanannya.
“Bagus tempat duduk ni. ‘Terima kasih’ Max!” Flora menekan sedikit
suaranya kepada Max yang masih terkebil-kebil. Aslan menggeleng bersahaja
sambil mendengus di dalam hati, “Tak habis-habis asyik nak bergaduh sahaja!”
Pengetua Dabster Dent merasmikan pembukaan gelanggang tersebut sekaligus
menandakan bermulanya pertandingan Wolvament. Aslan adalah pelajar yang paling
beruntung sekali, sebagai penghuni dunia Rubblesta, untuk menyaksikan
Wolvament.
Peserta pertama kelihatan membosankan kerana Stormfire dengan mudah
sahaja mengalahkan Stupyda, hanya menggunakan teknik fireboltnya sehingga berjaya
menghentam Stupyda pada dinding kaca. Peserta seterusnya tiada keistimewaannya
dari segi teknik serangan, sehinggalah sampai giliran si corot, Aborta naik ke
atas pentas. Ketika itu, Max yang asyik menguap sepanjang pertandingan
membetulkan duduknya. Senyuman misterinya kembali bertandang di wajah. Flora
pula yang sebentar tadi sibuk bermain dengan pucuk bunga lavender yang dikeluarkan dari telapak tangannya
lantas memandang ke arahnya dengan penuh curiga. Dia tahu, ‘persembahan’ Aborta
sebagai budak paling corot dalam setiap peperiksaan pastinya tidak begitu
menarik. Tapi, mengapa kali ini Max begitu berminat?
“Peserta seterusnya, Aborta menentang pewaris Perwira
kita, Aslan Muhaimin!” suara
pengacara yang bertugas terngiang-ngiang menggegarkan gegendang telinganya
meskipun tubuhnya masih kaku. Aslan tersentak, bagaimana mungkin dia termasuk
dalam senarai peserta sedangkan dia sendiri tidak pernah bermimpi untuk
bertanding dalam Wolvament yang berbahaya ini. Apatah lagi, dia belum mahir
menggunakan kuasa elektriknya sepenuhnya.
Dengan tumpuan mata seluruh hadirin pada dirinya, dia seolah-olah
‘dipaksa’ menapak ke arah Gelanggang Keadilan, meninggalkan Flora yang merenung
tajam kepada Max seolah-olah hendak menikam jantungnya. Max masih bersahaja,
berlagak seperti tindakannya itu langsung tidak memberi bahaya ke atas Aslan.
“Oh, jadi inilah kejutan awak tu ya? Saya dah agak, pasti ada rancangan
gila yang ada dalam fikiran awak tu. Awak dah gila? Max, awak pun tau kan.
Hendak terbang ke kelas Puan Irish pun masih belum mahir, awak nak cederakan
dia dalam pertandingan yang gila ni?” Flora menggunakan batang Lemna daripada
jemarinya, kemas menggenggam kolar kostum Max. Lebih kasar, wajah Max ditarik
rapat, dipaksa bertentang mata dengannya.
“Woo..Woo.. bertenang! Memang saya yang daftarkan dia. Tapi, relakslah.
Pesaing dia tu cuma si corot. Dia tak mungkin cederalah. Lagipun dia sudah
pandai terbang kan?” Mas mengangkat kedua-dua belah tangannya untuk
mempertahankan dirinya.
Flora menoleh ke sisinya, memejamkan matanya menahan geram, kemudian
kembali menghentamnya,” Kejutan untuk awak ya, Aslan tak pandai terbang
lagilah! Saya belum habis mengajarnya pun! Awak ingat dengan dia yang sering
berulang-alik ke Rubblesta, dia sempat berlatih terbang?” Flora melepaskan
kolarnya kasar, menahan mukanya yang memerah, dan kembali menonton perlawanan
yang mendebarkan itu. Dia cuma berharap agar sahabatnya itu boleh terbang dan berlawan
sebaik mungkin. Hatinya berharap Aborta hanya berdiam diri seperti selalunya
daripada menyerang. Kalaulah dia tahu kejutan yang lebih besar menantinya.
Ketika Aslan menapak ke tempat persalinan di tepi platform kemasukan,
seorang petugas mengenakan perisai halimunan dengan menghalakan telapak
tangannya ke seluruh tubuhnya. Dalam kekalutan itu, matanya tertancap kepada
bahagian platform pesaing. Gabriel, si pembuli, menolak kasar tubuh Aborta ke
tepi dan maju sebagai pesaing kepada Aslan. Dia menarik senyuman jahatnya,
memaksa petugas memakaikannya dengan perisai halimunan kemudian maju ke petak
platform. Platform yang berupa lapisan plat aluminium tertolak ke bahagian
dalam gelanggang bersama-sama Gabriel, sedang merangka serangan yang bakal
ditimpanya kepada ‘subjek’.
Riak wajah Max yang tadinya ceria mulai gelabah, duduknya mulai tidak
senang. Dia mengajukan soalan, “Boleh ke dia buat macam tu? Maksud saya, ini
giliran Aborta. Pengadil sepatutnya melarang dia bertanding dengan Aslan!”
“Awak macam tak tahu, orang-orang di Veronda ini semuanya tunduk pada
dia. Ayah dia sendiri yang mengeluarkan dana untuk membina sekolah ni.
Sekarang, cakaplah pada saya, apa awak nak buat?” Flora separuh cemas.
“Kita halang!” Max berlari ke platform pelepasan Aslan diekori oleh
Flora. Dia berusaha berunding dengan petugas supaya Gabriel dikeluarkan dari
gelanggang.
“Minta maaf, saya tak boleh tolong awak. Gelanggang Keadilan ada
prinsipnya sendiri. Sekali masuk, tidak boleh keluar selagi tidak ada
pemenangnya.”
“Habislah!” Max mendengus kasar. Tangannya ditekupkan pada dinding kaca
gelanggang tersebut, dia kesal. Kali ini, apa yang bakal berlaku adalah
tanggungjawabnya. Flora menutup matanya, tidak sanggup melihat sungkuran demi
sungkuran daripada tubuh Aslan. Aslan melihat situasi tersebut, namun dia masih
gagah berdiri. Dia kini berdiri di atas platform, tertolak ke dalam Gelanggang
Keadilan. Aslan cuba mengumpul keyakinan diri sebanyak mungkin. Dia ingat
kata-kata Ustaz Amir ketika di Bandar Darussalam, ‘La Taqah Wa La Tahzan! Inna
Allaha Maana! – Jangan Takut, Jangan Gentar! Sesungguhnya ALLAH Bersamamu!’
Bunyi siren menyebabkan adrenalin menerjah seluruh sarafnya. Gabriel
terus terbang ke arahnya, menggunakan tubuhnya yang sasa untuk menolak Aslan
yang masih kaku di atas platform dan menyebabkannya jatuh menjunam ke lantai.
Kini, wajah Aslan hanya beberapa meter dari tanah. Dia memejamkan matanya,
mencuba untuk mempercayai kelebihannya sebagai pewaris keturunan Perwira.
Dengan keyakinan yang tersemat padu, dia mula mendepakan tangannya dan meluaskan
bukaan kakinya. Serta-merta, dia berjaya melonjakkan tubuhnya ke udara dan
terapung dengan gahnya. Gabriel yang dari tadi berdiri dalam keadaan terapung
dan membelakanginya kini menghadapkan badannya ke arah musuhnya.
“Heh, kau boleh terbang juga rupanya. Oh, aku lupa! Keturunan Perwira
tak mungkin kalah begitu sahajakan?” Gabriel menebak.
“Tunjukkan apa yang kau ada!”
“Sudah tentu! Kalau kau nak tahu, aku dikenali sebagai Raja Knuckle. Nak
tahu kenapa?” dia menekan punat kecil pada jam tangannya. Kemudian, dengan satu
cahaya ungu yang menyilaukan, tubuh Gabriel kini disaluti oleh logam Halley.
Logam yang tahan lasak dan yang istimewanya, sarung tangan super. Sepadan
dengan kuasanya sendiri iaitu mempunyai tumbukan yang kuat. Gabriel memiliki kuasa
unsur tenaga, sama seperti Aslan, namun Max dan Flora kedua-duanya mempunyai kuasa
unsur semulajadi.
Aslan membetulkan niatnya. Dia tahu dan faham sekali, tugas yang
dilakukan bersama-sama Allah akan menjadi mudah. Dia meletakkan Allah di
hadapan usahanya untuk menjadi pesaing yang hebat kepada Gabriel. Aslan
menggenggam kemas penumbuknya kemudian terbang laju ke arahnya, dan cuba
mendaratkan tumbukan pertamanya kepada dada Gabriel. Dia mengelak pantas, lalu
memutarkan seluruh badannya seperti puting beliung dan mengelilingi Aslan
dengan tujuan untuk mengelirukannya.
“Tak guna! Serangan ribut! Aslan, fokus! Dia boleh menyerang awak pada
bila-bila masa!” Max memberi kata-kata semangat kepada rakannya. Aslan
mengangguk kecil. Matanya cuba difokuskan pada pergerakan musuh yang
mengelirukan. Setelah mengenalpasti sasarannya, dia mengangkat telapak
tangannya lalu mengeluarkan pusaran elektrik daripadanya. Gabriel terhenti,
tubuhnya terhempas mengenai plat-plat yang terapung lalu terhempas ke lantai
gelanggang.
“Tak mungkin! Semudah itu.. Kuatnya..” Gabriel tercungap-cungap
keletihan, matanya yang cuba untuk terbuka kini tertutup rapat. Dia pengsan.
Aslan tidak menyangka sama sekali bahawa serangannya tadi boleh menyebabkan
pesaingnya pengsan. Suasana senyap seketika, kemudian Gelanggang Keadilan
gemuruh dengan tepukan dan sorakan daripada seluruh warga Veronda. Gabriel diusung
keluar ke blok Enchatress untuk mendapatkan rawatan. Setelah itu, pengadil
mengumumkan bahawa Aslan sekaligus sebagai juara keseluruhan Wolvament sekaligus
memperoleh Piala Heroes kerana berjaya menumbangkan juara berturut-turut, si
pembuli.
“Jadi, seperti dijanjikan, juara akan menghabiskan cuti di Pulau Maiden
bersama-sama dua orang lagi yang akan dipilih oleh pemenang. Siapakah yang awak
pilih, Aslan?” pengetua Dabster memperlahankan suaranya dan membongkokkan
badannya separas dengan tubuh Aslan.
“Maximus Stumble dan Flora Equeen.” Aslan menjawab tenang. Dari jauh
kelihatan Max, si bersalah dan Flora yang sudah membuka matanya melambai-lambai
dari sisi gelanggang. Dia tersenyum puas, separuh percaya dengan apa yang
berlaku lalu kembali kepada rakan-rakannya.
*********************************************************************
Mereka kini berada di Gunung Bogey, baju mereka terkibas-kibas ditiup
bayu nyaman dari puncak gunung. Mereka tidak lagi memakai seragam Veronda,
tetapi berpakaian kasual. Mereka kini berada di atas Trigore, naga-naga yang
baru sahaja menjadi simpanan sekolah Veronda seminggu yang lalu. Sebuah portal
yang kelihatan seperti putaran galaksi yang gelap perlu dimasuki oleh mereka
untuk sampai ke Pulau Maiden sepantas mungkin. Max menyembunyikan ketakutannya
dengan memetik-metik jarinya dan mengeluarkan percikan api daripadanya. Flora
yang tahu tentang ketakutan Max terhadap naga dan ketinggian menahan tawa.
Aslan pula tidak sabar-sabar lagi melihat keindahan Pulau Maiden dan hamparan
pasirnya yang halus seperti yang digambarkan oleh pelajar lain.
“Awak tahu Aslan, bukan calang-calang orang boleh pergi ke pulau ni
tahu? Selalunya Gabriel dan keluarganya yang kaya menghabiskan masa di sana
setiap kali memenangi Piala Heroes. Awak patut bersyukur.” Flora memecahkan
sunyi.
“ Ya! Saya tak sabar lagi hendak ke sana. Awak, Max? Max?” Aslan menoleh
ke arah Max di sisinya. Dia hairan, mengapa Max yang selalunya banyak cakap ini
diam sahaja?
“Flora, bukankah tahun-tahun sebelum ini mereka menyediakan Pegasus
untuk ke sana? Kenapa tahun ini naga pula? Di atas gunung ni?” Max mencipta
kerut pada dahinya. Kerutan ketakutan, pastinya.
“Kenapa, Max? Awak takut dengan naga-naga yang gagah ni?”
“Bukanlah! Saya.. Cuma tak biasa tunggang naga.”
Aslan mencelah, “Jadi, apa lagi? Jomlah masuk ke sana! Ok naga, dalam
kiraan.. Satu. Dua. Tiga! Naga-naga Trigore mengipaskan sayap masing-masing
lalu terbang laju ke dalam portal. Suasana menjadi gamat dengan lolongan dan
jeritan Max yang membingitkan telinga.
|